Pastikan murid tidak tercicir,DUN Pantai Damai agih peralatan sekolah

KUCHING: Semua pihak perlu memastikan kehadiran murid ke sekolah secara konsisten khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini bagi memastikan murid terbabit tidak tercicir dalam pelajaran, selain membina keyakinan diri dan asas akademik yang kukuh sejak peringkat awal.

“Ia merupakan tanggungjawab bersama semua pihak untuk membimbing dan menyokong mereka dari Tahun Satu hingga Tahun Enam agar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata demikian ketika majlis penyerahan ‘Pek Kembali Ke Sekolah 2026 kepada murid Tahun Satu dari tiga sekolah rendah di DUN Pantai Damai, di sini, hari ini.

Program melibatkan seramai 245 murid tahun satu membabitkan 110 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru, 71 murid dari SK Rampangi dan 64 murid dari SK Telaga Air.

Majlis dianjurkan Pusat Khidmat ADUN Pantai Damai dengan kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) serta Ronald McDonald House Charities Malaysia.

Katanya, program selari usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang memperkenalkan minggu pertama persekolahan sebagai fasa penyesuaian dan adaptasi, khususnya kepada murid Tahun Satu.