KUCHING: Sarawak berusaha membina ekonomi yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan lebih inklusif dalam usaha
memperkukuhkan asas ekonomi dan keyakinan pelabur.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan jangka panjang bukan hanya bergantung kepada insentif, tetapi kepada asas kukuh merangkumi infrastruktur, bakat, tadbir urus dan persekitaran operasi yang stabil.
“Kita memperkukuh jaringan perhubungan, menambah baik kemudahan serta membina kapasiti keyakinan melalui pelaksanaan yang berkesan.
“Kita digalakkan dengan petunjuk positif dan pada 2024, Sarawak merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM198.7 bilion dengan lebihan dagangan RM71.1 bilion. Ini merupakan petunjuk yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian di Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Tinjauan Pasaran Kumpulan AFFIN 2026 di Hotel Sheraton, di sini malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir sama.
Abang Johari menjelaskan, Sarawak telah menarik pelaburan berjumlah RM105.9 bilion dari tahun 2021 hingga suku ketiga 2025.
Katanya, keyakinan ini amat penting dan perlu diperkukuhkan melalui pelaksanaan konsisten serta penambahbaikan praktikal yang dapat dirasai oleh perniagaan dan masyarakat.
Dalam hubungan ini, Abang Johari menjelaskan, Kumpulan AFFIN yang berperanan dalam ekosistem kewangan Sarawak kini diiktiraf dengan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) empat bintang.
Katanya, ini diperoleh setelah semakan separuh tahunan FTSE4Good terkini telah menaikkan penarafan kumpulan itu daripada tiga bintang kepada empat bintang.
“Satu pengiktirafan bermakna terhadap komitmen kelestarian dan meletakkan AFFIN dalam kalangan syarikat tersenarai awam terkemuka di Malaysia,” katanya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah.
