Sarawak rekodkan 4.97 juta pelancong, catat RM12.6 bilion pendapatan 2025

KUCHING: Sarawak merekodkan seramai 4.97 juta pelancong pada tahun lalu sekali gus hampir berjaya mencapai sasaran lima juta orang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia merupakan pencapaian tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

“Ketibaan pelancong sehingga 31 Disember 2025 mencatatkan 4,971,197 orang, kurang kira-kira 28,800 pelawat daripada sasaran asal lima juta,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persatuan Badminton Sarawak SBA – YONEX Sunrise di sini, hari ini.

Katanya, dari Januari hingga Disember tahun lalu, pendapatan pelancongan adalah sebanyak RM12,672,154,246 bilion, merupakan jumlah yang besar.

Abdul Karim menjelaskan, pencapaian tersebut memberi limpahan manfaat kepada industri hospitaliti termasuk hotel, restoran, rumah tumpangan serta inap desa yang terus menikmati peningkatan kehadiran pelancong, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.

Menyentuh sasaran tahun hadapan, beliau menjangkakan Sarawak berpotensi mencapai atau melepasi sasaran lima juta pelawat pada 2026, susulan trend peningkatan berterusan jumlah ketibaan pelawat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.