Pekan Trusan dibangun jadi bandar baharu

LAWAS: Kerajaan Sarawak akan membangunkan semula Pekan Trusan di sini menjadi bandar baharu yang lebih strategik dan menarik bagi kegiatan ekonomi di sempadan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini akan dilaksanakan melalui Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) dan agensi pelaksana seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

“Pekan Trusan akan dibangun semula melalui Pelan Pembangunan Semula Pekan Trusan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agung, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Datu Zaidi Mahdi dan Pengarah Jabatan Tnaah dan Survei (JTS) Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood.