CHENGDU (China): Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mengetuai rombongan dari Sarawak mengadakan lawatan kerja rasmi ke Chengdu, China, hari ini menghadiri taklimat di pejabat Jabatan Pengangkutan Wilayah Sichuan.
Taklimat disampaikan Timbalan Pengurus Besar Jabatan Pengangkutan Wilayah Sichuan, Wang Maokui dan pengarah beberapa bahagian kejuruteraannya.
Dalam satu kenyataan di sini, Uggah menzahirkan rasa penghargaan atas sambutan yang diberikan pihak berkuasa di Sichuan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Aidel Lariwoo mengiringi Timbalan Premier.
Uggah berkata, lawatan kerja rasmi itu menandakan komitmen Sarawak mengeratkan hubungan kerjasama dengan Sichuan terutama dalam pembangunan infrastruktur, kemajuan teknologi dan kelestarian kesalinghubungan.
Jabatan Pengangkutan Wilayah Sichuan dalam taklimat itu membentangkan secara terperinci kejayaan yang dicapaikan dan inisiatif yang dilaksanakan.
Jabatan terbabit diberi tanggungjawab merancang, membina dan menguruskan jalan raya, lebuh raya, jalan luar bandar, kereta api, pengangkutan sungai dan pelabuhan di wilayah berkenaan.
Wilayah Sichuan berada di tangga teratas di China dalam merancang dan mengurus lebuh raya sepanjang 418,000 kilometer (km) termasuk 369,000 km jalan luar bandar dan berada di kedudukan ketiga mengurus 10,310 km laluan sungai.
Pembentukan muka bumi yang berbukit bakau kerana terletak di Dataran Tibet dan lembah Sungai Yangtze, usaha merancang dan membina infrastruktur terutama jalan raya di kawasan terbabit sangat mencabar.
Sungguhpun berhadapan dengan situasi berkenaan, wilayah itu berjaya membina salah satu daripada sistem pengangkutan paling maju dan moden dengan memenangi anugerah bagi pembinaan lebuh raya dan jambatan, terowong dan jalan raya bertingkat sambil mengutamakan keselamatan dan melindungi tumbuhan.
Dalam menangani cabaran seperti peningkatan kos pembinaan, pembentukan muka bumi dan melindungi tumbuhan, jabatan itu komited dengan perancangan yang mampan, sistem pemantauan bijak dan menggunakan kaedah kejuruteran hijau.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan mendapati sesi libat urus dengan Sichuan begitu strategik dan tepat pada masanya jika mengambil kira keadaan muka bumi dan persekitaran di Sarawak yang hampir serupa dengan wilayah Sichuan.
“Kejayaan Sichuan membangunkan rangkaian jalan raya yang banyak dan memenangi anugerah dalam keadaan pembentukan muka buminya yang mencabar memberi pendedahan yang baik kepada Sarawak untuk membangunkan infrastruktur dan menjayakan agenda kesalinghubungan sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030,” kata Uggah.
Sarawak, katanya, juga komited dalam menjaga kelestarian alam sekitar dan rancangan membangunkan infrastruktur di Sichuan merupakan sebahagian daripada PCDS 2030 Sarawak yang mengutamakan kelestarian alam sekitar sebagai tonggak kemajuan.
“Kepakaran Sichuan dalam membangunkan infrastruktur dengan melindungi alam sekitar memberi pengajaran penting untuk Sarawak. Sarawak akan menggunakan pendekatan itu bagi menjamin pembinaan infrastruktur dan jalan raya turut mengutamakan kepentingan menjaga alam sekitar,” tegas beliau.
Pihak berkuasa Sichuan dalam membangunkan infrastruktur dan jalan raya menggabungkan Model Maklumat Bangunan (BIS), Sistem Maklumat Geograpi (GIS) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Sarawak menaruh minat untuk belajar daripada sistem pengurusan ekologi Sichuan terutama dalam bidang tadbir urus pengangkutan, mekanisme sokongan industri dan melindungi alam sekitar berasaskan teknologi.
Sesi libat urus dengan wilayah Sichuan itu menandakan satu lagi langkah penting dalam mengukuhkan kolaborasi Sarawak-Sichuan untuk berkongsi matlamat dan kelestarian, pertukaran teknologi dan pembangunan yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar.
Rombongan dari Sarawak turut dipelawa melawat tapak jalan yang terpilih dan mendengar taklimat seterusnya berkenaan sistem perancangan, teknologi pembinaan dan kerangka melindungi alam sekitar Sichuan.
