Pembantu perubatan pelopor perubahan – Hanifah

BINTULU: Profesion Pembantu Perubatan (PPP) adalah penghubung utama antara sistem kesihatan dengan masyarakat, kata Timbalan Menteri Keshatan, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Justeru beliau menggesa, PPP supaya bergerak seiring dengan era kemajuan teknologi dan transformasi landskap kesihatan global.

Era kemajuan teknologi itu merangkumi inovasi digital, amalan klinikal terkini, serta pendekatan rawatan yang lebih holistik dan berpusatkan pesakit, katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Suarah Bintulu.

Beliau berkata, pemodenan bukan sekadar penggunaan alat canggih atau sistem digital, tetapi bermula dengan minda berilmu, budaya profesionalisme dan semangat untuk berubah.

PPP menjadi tunjang utama sistem kesihatan negara dan memainkan peranan penting dalam mendukung agenda pemodenan ini, tegas beliau.

Menurut Hanifah, PPP kini tidak lagi berada di takuk lama, malah budaya penyelidikan melalui Journal of Malaysia Medical Assistants (JOMMA) menjadi bukti kematangan pengamal klinikal berasaskan bukti (evidence-based practice).

Komitmen ini diperkukuh melalui pembangunan Standard Practice Guidelines bagi disiplin Cardio Perfusion dan Cardio Thoracic, modul latihan PHCALS serta pelancaran Model Permentoran PPP, ujarnya.

Beliau menegaskan, dalam setiap inovasi dan pemodenan, prinsip asas seperti kualiti, keselamatan, empati dan integriti tidak boleh dikompromi.

“PPP digalakkan terus memperkukuh kompetensi melalui latihan berterusan, pembelajaran sepanjang hayat dan pematuhan kepada kod etika profesional yang ditetapkan KKM.

“Cabaran dunia kesihatan semakin kompleks dengan peningkatan penyakit tidak berjangkit, isu kesihatan mental, serta keperluan penjagaan komuniti yang luas.,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa PPP menjadi pelopor perubahan bukan sekadar petugas, tetapi pemimpin profesion, pembimbing generasi baharu dan inspirasi kepada rakan sejawatan di seluruh negara.

Seramai 250 Pembantu Perubatan dari seluruh Sarawak menghadiri sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Sarawak 2026 yang bertemakan “Memacu Pemodenan Perkhidmatan, Meningkatkan Kualiti Kesihatan”.

Gambar: FB Hanifah Hajar Taib