Lapan kanak-kanak disyaki tibi ditempatkan pusat perlindungan sementara

KUCHING: Lapan kanak-kanak yang disyaki dijangkiti penyakit tibi akan ditempatkan di pusat perlindungan sementara selepas dibenarkan keluar dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dijangka pada penghujung bulan ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, kesemua kanak-kanak berkenaan kini masih menerima rawatan dan pemantauan rapi di wad kanak-kanak hospital tersebut.

“Tempoh pemerhatian itu penting bagi memastikan tahap kesihatan mereka benar-benar stabil sebelum dilepaskan kepada jagaan seterusnya,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Sinergi Kasih Wanita: Memperkasa Akar Umbi (Sektor Ketiga) di sini, hari ini.

Menurutnya, dua kanak-kanak lelaki akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, manakala enam lagi kanak-kanak perempuan termasuk seorang bayi akan dipindahkan ke Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah.

Dalam masa sama katanya, enam ahli keluarga dewasa turut masih dirawat di hospital yang sama bagi pemeriksaan lanjut berkaitan penyakit tibi.

“Selepas discaj, golongan dewasa tersebut akan ditempatkan sementara di Anjung Singgah sebelum dipindahkan ke kediaman sewaan dengan bantuan sokongan kerajaan.

“Keluarga berkenaan juga akan dibantu dari segi dokumentasi dan kebajikan termasuk disenaraikan sebagai penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.