DARO: Hari Bersama Pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak menjadi medan penting dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat menerusi komunikasi yang lebih telus, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.
Selain itu katanya, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar.
Beliau berkata, program itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyuarakan pandangan dan maklum balas secara terus kepada pihak pengurusan.
Menurutnya, inisiatif tersebut signifikan dalam memperkukuh komunikasi dua hala yang lebih berkesan, sekali gus membina keyakinan masyarakat terhadap peranan Baitulmal.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hari Bersama Pelanggan dan Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Perhubungan Daro Tabung Baitulmal Sarawak 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Tekajong, malam tadi.
Dr Safiee menzahirkan penghargaan kepada Tabung Baitulmal Sarawak atas komitmen berterusan menganjurkan program berimpak tinggi kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara institusi dan pelanggan.
Menurutnya, Tabung Baitulmal Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan dana umat Islam dilaksanakan secara amanah, telus dan berimpak tinggi.
Ini khususnya dalam membantu golongan asnaf, memperkasa pendidikan serta meningkatkan kebajikan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat Islam.
“Setiap sumbangan daripada penyumbang dan pembayar zakat merupakan tanggungjawab sosial besar yang perlu diurus dengan integriti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kejayaan dan keberkesanan institusi berkenaan bergantung kepada sokongan semua pihak termasuk pembayar zakat, penerima bantuan dan rakan strategik.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar terus berurusan melalui saluran rasmi bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan secara sistematik, telus dan berintegriti.
Dr Safiee memaklumkan bahawa Baitulmal komited menambah baik penyampaian perkhidmatan termasuk mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan bantuan serta meningkatkan ketelusan pengurusan dana.
“Maklum balas pelanggan amat penting sebagai asas penambahbaikan berterusan agar perkhidmatan kekal relevan dan memenuhi keperluan semasa,” katanya.
