MATU: Sembilan sekolah menyertai Program Robotik 101: Mudah Untuk Semua di Sekolah Kebangsaan (SK) Bruan Mapal, Matu, di sini, hari ini.
Sekolah terbabit di bawah Zon Tanjung Jol iaitu SK Bawang Tian, SK Pergau, SK Orang Kaya Sergunim, SK Sekaan Kechil, SK Kuala Matu, SJK Chung Hua Matu, SK Orang Kaya Selair serta SK Bruan Mapal sebagai tuan rumah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, merasmikan program tersebut.
Dana menjayakan projek tersebut dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang disalurkan melalui Ahli Parlimen Igan bagi memperkasa pendidikan teknologi dalam kalangan pelajar luar bandar.
Beliau berharap program ini memberi pendedahan awal kepada teknologi robotik, selaras usaha memperkasa pendidikan digital di kawasan Parlimen Igan.
“Masih ramai pelajar di kawasan luar bandar yang memerlukan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan berasaskan teknologi seperti robotik,” kata Ahli Parlimen Igan itu.
Ahmad Johnie juga berharap program ini menyemai minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang penting bagi melahirkan generasi pelajar berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
