Tender fasa kedua Digital Nomad bakal dibuka, kapasiti berganda

KUCHING: Projek fasa kedua pembangunan Digital Nomad yang mampu menampung sehingga 1,000 peserta di sini dijangka dibuka proses tender bulan depan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, reka bentuk projek telah diluluskan dan dianggarkan mengambil masa antara 30 hingga 36 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Tender dijangka dibuka tempoh sebulan hingga satu setengah bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Nostalgia di TEGAS Digital Vilage di sini, hari ini.

Len Talif menjelaskan, bagi fasa kedua pembangunan Digital Nomad, semua prasarana sedia ada telah mencapai tahap maksimum penggunaan, sekali gus memerlukan penambahbaikan kapasiti dan kemudahan secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, Premier Sarawak bersetuju meluluskan peruntukan melebihi RM70 juta bagi membangunkan kemudahan baharu yang lebih lengkap,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk kemudahan hostel, apartmen servis serta dewan berskala besar baharu menggantikan konsep dewan terbuka yang mampu memuatkan sehingga 500 peserta pada satu masa, dengan tambahan ruang bagi menampung jumlah keseluruhan sehingga 1,000 peserta bagi satu-satu majlis.

“Walaupun perancangan awal menyasarkan projek tersebut siap sebelum penganjuran Sukan SEA tahun hadapan, kekangan masa menyebabkan sasaran itu tidak dapat dicapai,” tambahnya.

Namun begitu, beliau berkata usaha akan terus dipergiat bagi memastikan kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk memberi pendedahan maksimum kepada pengunjung dan media antarabangsa, selaras peningkatan jumlah acara bertaraf global di Sarawak.