Pencapaian cemerlang Premier berjaya angkat Sarawak negeri maju

KUCHING: Dengan pencapaian yang cemerlang sejak menerajui Sarawak selama lapan tahun, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya mengangkat Sarawak menjadi sebuah negeri yang maju.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kepimpinan cemerlang beliau itu berjaya mengangkat Sarawak sebagai sebuah negeri yang diiktiraf di peringkat antarbangsa dan juga kebangsaan.

“Saya harapkan dengan pencapaian ini, rakyat Sarawak terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan beliau untuk kita terus mencapai kejayaan yang lebih besar lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penutupan Singgah Lok Karnival Sahabat Usahawan AIM Cawangan Kuching di pusat beli-belah Eco Samariang, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fadillah berkata demikian ketika mengulas ulang tahun kelapan Premier menerajui Sarawak.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, beliau juga kreatif mencari sumber kewangan untuk Sarawak dengan bajet yang dibentangkan setiap tahun meningkat.

Katanya, ini memberi tumpuan kepada ekonomi baharu sama ada dalam bentuk digital atau tenaga boleh diperbaharui dan juga ekonomi hijau.

“Ini merupakan satu komitmen maknanya seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan kreatif sekali gus tidak takut menceburi bidang-bidang baharu,” tambahnya.

Menurutnya di peringkat kebangsaan, Premier juga sering kali disebut Perdana Menteri sebagai seorang yang kreatif dan dapat mengurus tadbir sehinggakan Sarawak menjadi sebuah negeri yang ke hadapan.