KUCHING: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar 0.02 peratus sahaja.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kadar bayaran itu menunjukkan usaha peserta AIM berjaya menguruskan perniagaan sehingga mereka dapat membayar balik pinjaman.
Menurut Fadillah, AIM ialah satu badan yang diamanahkan untuk menguruskan dana yang mengeluarkan pinjaman berteraskan Islam.
“Pinjaman berteraskan Islam itu adalah sebanyak RM3,000 hingga RM30,000 kepada yang layak dan peminjam juga diberi latihan serta sokongan sepenuhnya.
“Ini bagi memastikan mereka keluar dari kepompomg kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan seterusnya berjaya membayar balik pinjaman itu.
“Kalau mereka tidak berjaya, mereka tidak dapat membayar pinjaman. Sebab itu kadar bayaran balik pinjaman atau pinjaman tidak berbayar itu begitu kecil sekali, 0.02 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Penutupan Singgah Lok Karnival Sahabat Usahawan AIM Cawangan Kuching di pusat beli-belah Eco Samariang, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Dato’ Sri Syed Hussian Syed Junid, Pengarah Urusan AIM, Dato’ Shamir Aziz serta barisan pengurusan kanan AIM.
Sementara itu, seramai 1,200 sahabat usahawan AIM Cawangan Kuching mengadakan Karnival Singgah Lok Sahabat Usahawan AIM.
Karnival itu diadakan mulai 11 dan 12 Januari, bertujuan memberi platform kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk mempromosi produk keluaran mereka selain membuka ruang rangkaian perniagaan yang lebih luas.
Untuk rekod, bagi tahun 2024, jumlah Sahabat Usahawan AIM bagi wilayah Sarawak adalah 42,957 orang, manakala jumlah pembiayaan yang dikeluar ialah RM262,619,300 (RM262.6 juta).
