KUCHING: Kerajaan akan menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Negeri (SAIC)
di negeri ini tahun ini untuk meningkatkan penggunaan teknologi.
Ini temasuk bidang pertanian, jagaan kesihatan, pembangunan tenaga hijau dan penyampaian perkhidmatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi AI itu sangat penting untuk memodenkan bidang pertanian dan pengesanan awal penyakit dalam bidang jagaan kesihatan.
“Sekarang tiba masanya untuk Sarawak berubah dan penubuhan SAIC itu akan mempercepatkan proses membawa perubahan,”katanya berucap pada majlis Amanat Perdana 2025 Premier Sarawak bertemakan ‘Sarawak Ke Arah 2030’ di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam masa lima tahun akan datang adalah tempoh paling penting bagi Sarawak jika mahu mencapai impian Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030. Ini untuk menjadikan Sarawak sebuah ekonomi yang makmur, mampan dan inklusif untuk kesejahteraan semua.
Sejak beberapa tahun lalu, katanya, Sarawak telah mencapai kemajuan dalam mempelbagaikan ekonomi, transformasi digital dan pembangunan tenaga diperbaharui sehingga mendapat pengiktirafan global.
Kemajuan itu telah meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam pembangunan mampan bagi memperkukuhkan visi Sarawak menjadi hab tenaga diperbaharui dan inovasi digital, katanya.
Pada tahun 2024 sahaja, beliau berkata, Kerajaan Sarawak mencapai kejayaan dalam membuktikan kesungguhan membangunkan negeri dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM13.40 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama.
Ia untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan, katanya.
Tahun 2025, katanya, akan menyaksikan Sarawak mencapai kejayaan lebih banyak selepas mengecapi kejayaan memberansangkan pada 2024.
Pada 2024, tambahnya, Sarawak berjaya memiliki 31.25 peratus saham dalam Affin Bank Berhad, menubuhkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei, PETROS sebagai aggregator gas di Sarawak dan pelancaran loji metanol Petchem Sarawak di Bintulu yang akan mewujud lebih banyak kesan sampingan.
Tahun lepas, kata Premier Sarawak, kerajaan berjaya mengambilalih Pelabuhan Bintulu bagi menjamin kecekapan pengangkutan barangan merintasi pasaran global sambil menyokong pertumbuhan sektor perindustrian di negeri ini.
Beliau berkata, pada suku pertama tahun ini, Sarawak dijangka mengambilalih MASwing untuk membolehkan negeri ini mempunyai syarikat penerbangan sendiri.
Kerajaan bersama sektor swasta dijangka melabur RM100 bilion untuk membangunan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang dan lapangan terbang antarabangsa baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Premier Sarawak, pembangunan pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa baharu itu adalah sebagai persediaan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab pengangkutan ASEAN.
Begitu juga dengan rancangan membangunkan Halatuju Gas Sarawak (SGR) di Miri, katanya dan menambah, SGR itu mungkin boleh dikembangkan ke Brunei dan Sabah.
Beliau turut menggesa rakyat supaya menyokong usaha kerajaan yang memberi keutamaan dalam bidang penting Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).
Persediaan bagi RMK-13 sedang diadakan Kerajaan Sarawak, katanya.
Menurutnya, antaranya berunding dengan pelbagai kementerian, industri dan masyarakat dalam menyediakan RMK-13 bagi menjamin pembangunan strategik yang inklusif dan komprehensif.
Banyak projek infrastruktur asas seperti jambatan, jalan raya, sekolah, klinik, bekalan air dan elektrik akan siap tahun ini dan memberi manfaat kepada rakyat, tegas beliau.
Beliau mengajak rakyat bersama-sama menyambut tahun 2025 yang penuh potensi dan peluang ke arah Sarawak Maju Makmur 2030.
Hadir sama, isteri Premier, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, menteri-menteri kabinet Sarawak dan persekutuan.
