Pengerusi Affin Bank akan diputus setelah dipersetujui Bank Negara

KUCHING: Pengerusi Affin Bank akan diputuskan setelah mendapat persetujuan daripada Bank Negara, jelas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelas beliau, ketika ini pihaknya sudah mengenalpasti calon untuk menggalas tugas yang mana masih menunggu prosedur pelantikan melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Calonnya sudah ada, tetapi perkara ini kita perlu mengambil kira prosedur bank negara kerana ia perlu dipersetujui BNM.

“Sekarang kalau kita lihat, Lembaga Affin Bank berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Rindok Raya 2025 anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di sini hari ini.

Abang Johari berkata, prestasi Affin Bank setakat ini berada pada tahap memuaskan.

Katanya, mereka mempunyai perancangan masa depan untuk membiayai projek-projek di Sarawak.

Dalam perkembangan lain, beliau menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana telah meninggalkan legasi besar kepada Sarawak dengan mencadangkan penubuhan RECODA semasa melancarkan agensi pembangunan di seluruh negara.

“RECODA ini adalah hasil daripada cadangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di mana ini merupakan legasi yang ditinggalkan beliau semasa beliau melancarkan agensi pembangunan di seluruh Malaysia.

“Antara yang dilancarkan termasuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi kawasan utara Semenanjung Malaysia, untuk Sarawak pula RECODA dan satu lagi agensi serupa untuk negeri Sabah. Ini adalah legasi Allahyarham yang kita teruskan hingga sekarang,” ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut, Abang Johari turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM15,000 daripada Pertama Ferroalloys kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM).

Beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni PERYATIM.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, barisan timbalan-timbalan menteri serta dif-dif kenamaan lain. — UKAS