KOTA SAMARAHAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan pemimpin pertama Sarawak menerima anugerah ‘The Order of the Rising Sun Gold & Silver Star’.
Anugerah berkenaan dianugerah Kerajaan Jepun atas usaha kolektif Sarawak membina masa depan berasaskan tenaga hijau yang akan disampaikan pada 11 November ini di Tokyo.
Abang Johari yang menyifatkan penganugerahan itu secara langsung mengiktiraf dasar-dasar yang dibawa Kerajaan Sarawak khususnya dalam sektor tenaga.
“Anugerah ini bukan untuk saya secara peribadi, sebaliknya untuk Sarawak, sebagai pengiktirafan dunia terhadap dasar-dasar progresif yang diperkenalkan Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sidang 3 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak kini menumpukan kepada pembangunan tenaga hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui, di mana Jepun menjadi rakan strategik utama dalam usaha bersama meneroka teknologi baharu berasaskan tenaga hijau.
Selain itu katanya, penganugerahan ini menunjukkan dasar jejak karbon yang rendah yang dilaksanakan Sarawak turut mendapat pengiktirafan negara berkenaan.
Tegasnya, anugerah ini juga merupakan salah satu pengiktirafan dunia, memandangkan Jepun adalah sebuah negara maju dan berindustri di Asia.
“Saya yakin dengan pengiktirafan ini, Sarawak dapat memperluas peranan secara lebih aktif, khususnya dalam meneroka teknologi baharu untuk memacu ekonomi masa depan,” ujarnya.
