Premier Sarawak santuni anak yatim dalam majlis berbuka puasa

KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa khas bagi meraikan anak-anak yatim dari Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM).

Majlis yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) itu diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kira-kira 400 tetamu lain.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Datu Laura Lee Ngien Hion.

Pada majlis itu, sejumlah RM25,000 sumbangan telah diserahkan kepada PERYATIM selain pemberian duit raya kepada anak-anak yatim dalam menceriakan mereka sempena sambutan Ramadan.

Dalam pada itu, Abang Johari bersama tetamu kehormat lain turut menunaikan solat jemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih.