KUCHING: Program Pengagihan Bubur Lambuk perlu diterus setiap tahun dan diperluas ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang.
Ia dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga ADUN Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi semasa menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk CATS Masjid Darul Hana hari ini.
Menurutnya, program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi pengagihan bubur lambuk pada Ramadan, tetapi sebagai amalan jariah yang mengeratkan hubungan masyarakat khususnya penduduk di Darul Hana.
Sebanyak 1,200 pek bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat di Masjid Darul Hana mulai jam 4.30 petang dengan kerjasama jawatankuasa masjid itu.
Untuk rekod, sebanyak 4,800 pek bubur lambuk diagihkan di empat buah masjid sekitar Kuching hari ini, iaitu Masjid Darul Hana, Masjid Ikhwanul Islam di Taman Sukma, Masjid Al Ghazali (Jalan Depo) dan Masjid India Bandar Kuching.
Program anjuran CATS FM ini akan diteruskan esok di bahagian Kota Samarahan, melibatkan Masjid Ar-Riyadh (Taman Samarindah), Masjid Darul Ulum (Taman Desa Ilmu), dan Masjid Al-Kawthar (Gedong).
Turut hadir sama, Pengurus Program CATS FM Mohamad Fadzli Daud (Fuzz) dan Penyampai CATS FM Elya Nabila.
