SIBU: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim yang membabitkan kos RM291.4 juta kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 25.48 peratus, iaitu 8.85 peratus lebih awal daripada jadual asal.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pencapaian itu merupakan bukti kemampuan kerajaan negeri melaksanakan projek infrastruktur kritikal secara efisien dan terancang.
“Projek ini amat penting dalam menjamin keperluan bekalan air bersih yang semakin meningkat di Sibu dan kawasan sekitarnya,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak projek di sini, hari ini.
Antara komponen utama projek ialah penaiktarafan sistem pengambilan air mentah fasa kedua, pembinaan saluran paip keluli sepanjang lapan kilometer (km), serta kerja memperluaskan loji sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 150 juta liter sehari kepada 300 juta liter sehari.
Selain itu Julaihi menambah, sistem agihan air turut dipertingkatkan melalui pembinaan saluran paip air terawat sepanjang empat kilometer melibatkan dua saiz paip berdiameter 1.6 meter dan 1.2 meter bagi meningkatkan kecekapan pengedaran air ke kawasan pengguna.
Apabila siap kelak katanya, projek itu bakal memberi manfaat kepada lebih 350,000 penduduk di kawasan Sibu, Kanowit, Selangau, Maradong dan Rassau hingga 2036, selaras aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menjamin kebajikan rakyat melalui perkhidmatan utiliti yang mampan.
