KUCHING: Perubahan iklim hari ini boleh dijadikan sebagai peluang strategik untuk membina masa depan lebih mampan dan inklusif bagi Sarawak, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan iklim itu mampu membuka ruang baharu dari segi pekerjaan, membina komuniti berdaya saing dan memelihara warisan semula jadi Sarawak.
Mengambil peluang daripada strategik itu adalah demi masa depan generasi akan datang, katanya dalam ucaptamanya sempena Seminar Antarabangsa Kemanusiaan dan Krisis Perubahan Iklim: Perspektif Multidimensi, di sini, hari ini.
Teks ucaptamanya dibaca oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Menurut Abang Johari, tindakan terhadap perubahan iklim bukan sebagai satu beban tetapi sebagai peluang untuk mewujudkan pekerjaan hijau, membina komuniti berdaya tahan, dan memelihara warisan semula jadi Sarawak.
Sarawak, katanya, mendapati cabaran perubahan iklim sebagai pemangkin transformasi ekonomi dan sosial dan bukan halangan kepada pelaksanaan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030, yang menggariskan pendekatan pembangunan hijau dan berintegrasi.
Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk pelaburan dalam ekonomi hidrogen untuk menyokong proses nyahkarbon industri dan memperluas tenaga hidro sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, katanya.
Premier Sarawak turut menegaskan, Sarawak akan terus menerajui masa depan tenaga hijau di rantau ini.
“Dengan strategi ini, Sarawak bukan sahaja merintis laluan baharu di Malaysia tetapi turut meletakkan Sarawak sebagai bateri ASEAN,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin, Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Emeritus Dato Dr Mohd Yusof Othman dan Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Dato Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.
