Sarawak kukuhkan hubungan ekonomi, bakal tubuhkan STATO di Kalimantan

PONTIANAK: Sarawak mengukuhkan hubungan ekonomi serantau dengan penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) baharu di Kalimantan.

STATO yang bakal ditubuh ini dijangka menjadi platform strategik utama dalam mempromosikan kepentingan perdagangan, pelaburan, dan pelancongan antara Sarawak dan Kalimantan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang mengetuai delegasi ke Kalimantan, menyatakan bahawa penubuhan STATO adalah inisiatif penting dalam memperluaskan jaringan perniagaan dan peluang pelaburan antara kedua-dua wilayah.

Dalam kenyataan media semalam, Awang Tengah berkata, STATO akan menjadi pusat utama untuk memudahkan perhubungan perniagaan, memperkenalkan produk dan budaya Sarawak, serta menyokong perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memperluaskan pasaran mereka.

Selain itu katanya, STATO juga akan memainkan peranan penting dalam memupuk pembangunan bakat dan menggerakkan inisiatif kolaboratif sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Lawatan kerja delegasi Sarawak ke Kalimantan turut melibatkan lawatan tapak ke lokasi berpotensi untuk menempatkan pejabat STATO tersebut, menandakan komitmen serius Sarawak dalam memperkukuh kerjasama ekonomi dan budaya antara kedua-dua wilayah.