KUCHING: Seramai 110 pelajar cemerlang SPM 2024 dari Sarawak menerima tajaan pendidikan berjumlah RM28 juta daripada PETRONAS menerusi program Powering Knowledge.
Pelajar terpilih akan melanjutkan pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan, undang-undang dan ekonomi di universiti dalam dan luar negara, termasuk Universiti Teknologi Petronas (UTP), United Kingdom dan Australia.
Mereka dipilih daripada hampir 9,000 pemohon berdasarkan prestasi akademik, kepimpinan dan penglibatan kokurikulum.
Majlis penyampaian tajaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Menurut Pengurus Besar Kanan PETRONAS (Kepakaran Modal Insan), Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Akmal Niza Ahmad, inisiatif ini merupakan komitmen berterusan syarikat dalam melabur untuk pembangunan bakat muda negara.
Di PETRONAS, pendidikan sentiasa menjadi tunjang dalam usaha membina negara.
“Menerusi inisiatif Powering Knowledge, kami menyokong pelbagai program yang memperkasa rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan B40.
“Sejak 1975, lebih 40,000 pelajar telah menerima manfaat program ini, termasuk lebih 1,300 pelajar dari Sarawak,” katanya.
