Reka bentuk SSLR unik

LIMBANG: Projek Lebuh Raya Kawasan Utara Sarawak (SSLR) yang menghubungkan negeri ini dengan Sabah tanpa melalui negara Brunei menampilkan reka bentuk unik.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, lebuh raya unik kerana membabitkan pembinaan jalan raya bertiang sejauh dua kilometer (km).

Pembinaan jalan raya bertiang sejauh dua kilometer itu merupakan yang terpanjang dibina di Malaysia, katanya merasmikan Hari Terbuka Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Batu Empat di sini.

Menurut Dr Abdul Rahman, jajaran SSLR yang merangkumi lebuh raya Trans Borneo dan lebuh raya Pan Borneo akan melengkapkan sistem perhubungan di Sarawak.

Kerja membina SSLR yang sudah bermula di Lawas di bawah fasa pertama akan diteruskan untuk fasa kedua menghubungkan Limbang tahun ini dengan kos bernilai RM7 bilion, tegas beliau.

Lebuh Raya Trans Borneo, tambahnya, bermula di bahagian Kuala Baram di pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri, sehingga ke Tedungan dan menuju ke bandar Limbang sepanjang 30 km.

Jelas Dr Abdul Rahman lagi Projek Lebuh Raya
Trans Borneo di bawah Kerajaan Persekutuan itu sebelum ini dikenali sebagai Lebuh Raya Pan Borneo.