MATU: Pelaksanaan Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bukti komitmen teguh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam merapatkan jurang pembangunan di luar bandar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, projek RES adalah selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memastikan kawasan luar bandar turut menikmati kemudahan asas seperti elektrik dan air.
“Dengan adanya bekalan elektrik 24 jam sehari, penduduk tidak perlu lagi bergantung kepada generator.
“Kos sara hidup juga akan berkurang, daripada sekitar RM700 sebulan untuk bahan api, kepada hanya RM70 atau RM80 sebulan untuk bil elektrik.
“Ini perubahan besar yang membawa impak positif kepada kehidupan seharian,” katanya pada perasmian Rural Electrification Scheme (RES) Batang Lassa dan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 di Rumah Johari Pitang, Batang Lassa, di sini hari ini.
Katanya, pelbagai lagi projek pembangunan lain akan menyusul di kawasan DUN Daro, termasuk pembinaan jalan raya berturap dan sistem bekalan air bersih, bagi memastikan pembangunan yang holistik dan berfasa dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat luar bandar.
Program anjuran Pusat Khidmat Daro bersama JKKK Rh. Johari itu menghimpunkan lebih 150 penduduk setempat dalam suasana penuh adat dan budaya sebagai simbol penutupan perayaan Gawai Dayak, serta permulaan fasa pembangunan kemudahan asas di kawasan tersebut.
