KUCHING: Sebuah klinik kesihatan akan dibina di Simpang Layar membabitkan kos RM16 juta sebagai usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat di Betong.
Semasa mengumumkan berita gembira itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, klinik baharu ini akan menjadi tambahan kepada yang akan dibina dengan kos RM36 juta dan pusat hemodialisis bernilai RM5 juta, kedua-duanya di Spaoh.
Katanya, pembangunan semua kemudahan ini kerana wujudnya Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Bagi rakyat Bahagian Betong, saya berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Kita melihat begitu banyak projek impak besar yang akan dilaksanakan. Satu lagi yang kami tunggu-tunggu ialah siapnya jalan dari Sri Aman ke pekan Betong.
“Jalan ini, sebahagian daripada Jalan Batang Kedua, dijangka siap tahun depan dan akan mengurangkan masa pemanduan kepada kira-kira 30 minit antara kedua-dua bandar,” katanya berucap pada majlis Gawai Dayak anjuran Saribas Social and Recreational kelab di sini malam tadi.
Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan merangkap ADUN Bukit Saban sekali lagi menegaskan beliau dan pemimpin lain akan terus menumpukan usaha mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi menjana pendapatan dan menggalakkan kecemerlangan pendidikan di bahagian itu.
Terdahulu, beliau menyampaikan insentif kepada 26 pelajar cemerlang Bahagian Betong.
