Tanah NCR: Program penyukatan dilaksanakan secara sistematik, Sarawak paling aktif

LIMBANG: Lebih 1.2 juta hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berjaya disukat setakat ini, menjadikan Sarawak antara negeri paling aktif dalam usaha mengiktiraf hak tanah adat masyarakat pribumi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program penyukatan ini dilaksanakan secara sistematik melalui pendekatan penyukatan perimeter, diikuti pemberian hak milik kepada pemilik tanah NCR.

Menurutnya, program ini bukan sahaja melindungi hak komuniti Bumiputera, malah memberi kepastian terhadap pemilikan yang sah dari segi undang-undang.

“Dalam memastikan kelangsungan program, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM40 juta yang boleh dipohon berdasarkan keperluan.

“Pada masa sama, beliau menggesa K ok erajaan Persekutuan agar terus menyokong usaha ini dengan menyalurkan dana tambahan secara berterusan bagi mempercepatkan proses penyukatan di kawasan yang masih belum dikenal pasti secara rasmi,” katanya ketika merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2025 di Batu Danau hari ini.

Beliau turut menghargai keprihatinan Nurul Izzah terhadap isu NCR, tetapi beliau juga ingin Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memahami bahawa pencapaian Sarawak dalam penyukatan tanah adat telah banyak ke hadapan.

Katanya, beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu memastikan dana disalurkan secara konsisten kepada Sarawak.