SIBURAN: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mempergiatkan usaha memperkasakan pekebun kecil getah di Malaysia, khususnya di Sarawak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi, penekanan lebih diberikan kepada pekebun kecil berbanding ladang-ladang ekoran kebergantungan yang tinggi kepada pekebun kecil dalam pengeluaran getah negara.
Katanya, 87 peratus keluaran getah negara datang daripada pekebun kecil dan hanya kira-kira 13 peratus sahaja daripada ladang-ladang, menandakan kebergantungan kepada pekebun kecil ini sangat besar.
“RISDA adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengkoordinasikan pegawai di peringkat negeri dan daerah.
“Mereka akan berinteraksi dengan persatuan pekebun kecil untuk mempertingkatkan penghasilan getah khususnya bagi menukarkan bentuk keluaran hanya daripada getah beku kepada getah latex,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra Gawai yang berlangsung di Kampung Raeh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben; Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan RISDA menubuhkan dua depo pengumpulan hasil getah di setiap negeri di Malaysia.
Jelasnya, salah sebuah depo pengumpulan hasil getah yang akan dibina di Sarawak akan dibangun di kawasan Parlimen Kota Samarahan, manakala sebuah lagi akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Kerajaan Sarawak.
