RM1.085 bilion baiki, ganti paip

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.085 bilion untuk melaksanakan program menaik taraf dan penggantian paip lama dan uzur di seluruh Sarawak secara berfasa untuk jangka masa lima tahun.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, agensi bekalan kini sedang giat menjalankan kerja-kerja survei penyediaan pelan lukisan penyediaan dokumen tender perlawaan tender.

Katanya, sebanyak 13 projek telah dan akan bermula pembinaan pada penghujung tahun ini manakala 45 projek akan bermula pada suku pertama tahun 2025.

Menurutnya, kini terdapat 2,740 kilometer (km) air lama dan uzur yang masih digunakan dalam sistem agihan bekalan air seluruh Sarawak. Ini adalah salah satu penyumbang utama Air Tidak Terhasil yang tinggi di Sarawak iaitu secara puara sebanyak 43 peratus.

“Sejak kebelakangan ini kita sering mengalami gangguan bekalaan air yang disebabkan oleh kecuaian pihak ketiga termasuk kontraktor semasa mereka melaksanakan kerja-kerja pembinaan. Tidak kurang juga kerosakan paip agihan kami disebabkan oleh kecuaian pihak lain seperti kemalangan lalu lintas dan kegiatan vandalisme,” katannya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan penggulungan bagi kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Julaihi berkata, kerosakan yang berlaku pada saluran paip mengambil masa yang lama untuk dibaik pulih dan menjejaskan perkhidmatan bekalan air. Ini juga menyukarkan aktiviti harian pengguna selain memberi imej yang buruk kepada agensi bekalan air.

Katanya, kerosakan ini juga menyebabkan agensi bekalan air terpaksa menanggung kesukitan untuk mengesan kerosakan dan kerja-kerja membaiki paip yang rosak, malah agensi bekalan air berkaitan juga mengalami kerugian dari segi kehilangan Air Tidak Terhasil.

Jelasnya, kadar penaliti yang dikenakan kepada pihak yang menyebabkan kerosakan kepada sistem bekalan air juga adalah rendah jika dibandingkan dengan penalti di tempat lain.

Menurutnya, di Sarawak penalti yang dikenakan bagi kesalahan pertama adalah RM5,000 tidak termasuk kos baik pulih kerosakan berbanding Semenanjung Malaysia dan Sabah yang tidak melebihi RM50,000.

Manakala, penalti di Singapura adalah lebih tinggi iaitu tidak melebihi SGD 40,000 berbanding di Malaysia.

“Oleh itu, kementerian saya memandang serius perkara ini dan sedang mengkaji untuk mempertimbangkan pindaan ke atas seksen berkaitan dalam Water Ordinance 1994.

“Ini bertujuan mengenakan penalti yang lebih tinggi dan hukuman setimpal kepada pihak yang cuai dan menyebabkan kerosakan kepada sistem bekalan air Sarawak,” katanya.