PETROS gas agregator tunggal Sarawak

KUCHING: Pelantikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat milik Kerajaan Sarawak sebagai gas agregator tunggal di negeri ini adalah muktamad dan tidak boleh dirunding, tegas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi.

Beliau juga sekali lagi mengulangi bahawa tidak ada gas agregator lain di Sarawak.

Ujarnya, PETROS yang dilantik sebagai gas agregator tunggal berkuat kuasa 1 Februari 2014 akan berperanan dalam menjalankan aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak.

“Gas agregator juga bertanggungjawab membuat perancangan, pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem rangkaian pengedaran gas asli di Sarawak.

“Perkembangan terkini yang mana PETROS dan PETRONAS sedang dalam perbincangan khususnya mengenai aspek teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikia semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Beliau juga mengingatkan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pengedaran gas perlu memohon lesen di bawah Seksyen 7, Ordinan Pengagihan Gas, 2016.

Katanya, setakat hari ini, MUT telah mengeluarkan lesen ‘Retail of Gas’ kepada 13 pemain gas huluan dan 10 lesen kepada pemain gas hiliran.

“Kegagalan mematuhi keperluan pelesenan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20 Ordinan tersebut yang boleh dikenakan denda dan hukuman penjara dan kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.

Beliau sekali lagi menegaskan sudah tiba masanya untuk Sarawak memanfaatkan sendiri sumber gas aslinya untuk memajukan negeri ini.

Jelasnya, Sarawak menyumbang 60 peratus daripada sumber gas asli di Malaysia namun 94 peratus daripada penghasilan gas asli ini dieksport dan tidak dimanfaatkan untuk pembangunan industri tempatan di Sarawak.

“Sudah tiba masanya, pemimpin Malaysia membuka mata dan minda untuk melihat perspektif pembangunan negara yang lebih menyeluruh dan tidak terikat dengan perspektif pembangunan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sahaja. Jangan terlalu bersifat ‘centralist’,” tegasnya lagi.