KUCHING: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) diharap melantik calon pengambilan khas guru Sarawak sebagai guru baharu sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, keputusan calon terbabit dilantik sebagai guru di bawah kontrak perkhidmatan (COS) adalah kuasa Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Saya berharap agar SPP dapat menunaikan permintaan negeri ini untuk melantik guru COS yang baharu sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas penggulungan bagi kementerian beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Roland Sagah sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap SPP kerana tidak menunaikan janji membenarkan 1,733 kekosongan yang ada di bawah pemacu pengambilan khas itu diisi oleh rakyat Sarawak.
