BINTULU: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memperuntukkan RM130.6 juta untuk melaksanakan projek bekalan air di sepanjang jalan Labang-Tubau.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang sedang giat dilaksanakan itu akan menambah baik sistem bekalan air di kawasan yang permintaannya semakin meningkat.
Projek bekalan air itu dibahagikan kepada dua pakej, katanya dalam satu kenyataan selepas melawat tapak projek Sistem Grid Bekalan Air Sarawak di Jalan Bakun, Tubau di sini.
Beliau berkata, projek terbabit melibatkan pemasangan paip pelbagai saiz sepanjang 98 kilometer (km) dan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 10 juta liter sehari, dua tangki aras tinggi berkapasiti 3.5 juta liter, satu reservoir berkapasiti tiga mili liter (ML), serta kerja-kerja mekanikal dan elektrik berkaitan.
“Projek ini dijadual siap pada suku kedua 2026 sekali gus berharap dapat meningkatkan liputan air bersih kepada 62 rumah dan kampung di kawasan Labang ke Tubau, Bakun, serta memberi manfaat kepada 3,310 penduduk dengan jaminan kualiti hidup yang lebih baik,” ujarnya.
Pada masa sama, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) komited untuk memastikan projek itu disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak.
“Ini adalah langkah penting untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,’ tambahnya.
