KUALA LUMPUR: Cabaran perlu ditangani sebelum melaksanakan inisiatif hijau adalah merangka prosesnya yang merangkumi Pelaksanaan Undang-undang (seperti Ordinan Alam Sekitar 2023, peraturan dan pensijilan) dan mewujudkan Kerangka Teknikal berdasarkan tenaga yang ada di Sarawak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, tenaga itu merangkumi hidro, solar, angin, gelombang kinetik, hidrogen, bahan bakar sintetik (e-Methanol), biotenaga (mikro alga, pelet kayu, pelet buluh dan rumput napier), tenaga lautan, CCUS dan minyak dan gas.
“Untuk membangunkannya memerlukan kepakaran teknikal melalui perkongsian strategik,” katanya pada Forum Ekonomi Belia 2024 di MITEC di sini.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato Dr. Johari Abdul merasmikan forum berkenaan yang dihadiri oleh lebih 1,200 peserta dan Menteri Perdagangan, Industri dan Pelaburan, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz menyempurnakan majlis penutupan.
Dr. Hazland berkata, salah satu daripada inisiatif yang berjaya dilaksanakan oleh Sarawak ialah membangunkan Fasiliti Pengagihan dan Loji Elektroliser (SEA-DF) di Kuching.
Fasiliti itu direka oleh sainstis tempatan dengan usaha sama antara SEDC Energy dan Petronas Lestari untuk menghasilkan tenaga hidrogen sebagai tenaga hijau utama pada masa depan, katanya.
Menurut Dr. Hazland, peralihan kepada ekonomi hijau itu akan mewujud pendapatan baharu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata, kekuatan Sarawak dalam tenaga hijau itu kerana memiliki kawasan seluas 12.4 juta hektar dengan 62 peratus daripada tanahnya masih diliputi hutan, tanah gambut dan tanah paya yang boleh mengurus dagangan 750 juta hingga satu billion tan karbon.
Ini akan dapat menangani perubahan iklim melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi, katanya.
Beliau berkata, Sarawak komited dan bersungguh-sungguh dalam mempercepat proses peralihan tenaga sejajar dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sarawak, katanya, merancang meningkatkan penghasilan tenaga daripada 5,400 MW (70% daripada tenaga hidro) kepada 10,000 MW pada 2030 dan 15,000 MW menjelang 2035.
Beliau berkata, proses membangunkan bakat dan sumber manusia sedang dilaksanakan dengan kerjasama institusi pendidikan untuk melatih belia menjadi juruteknik bagi menajmin kejayaan peralihan tenaga itu untuk kemakmuran masa depan Sarawak.
