MPP, DBKU terima Anugerah Paling Lestari, Matlamat Pembangunan Mampan

PUTRAJAYA: Lapan pihak majlis berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak mencapai ‘Status Kelestarian’ di bawah Rangkaian Pertunjuk Kebangsaan Bandar-Luar Bandar Malaysia bagi Pembangunan Mampan (MURNInets).

Sistem penilaian itu dibuat oleh Perancang Pembangunan Bandar dan Luar Bandar (PLANMalaysia) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Daripada lapan PBT itu, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menerima Anugerah ‘Paling Lestari’ pada majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Kebangsaan di Hotel Everly Putrajaya hari ini.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerima anugerah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi mengiktiraf usahanya dalam membangunkan inisiatif SDG global.

Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan yang menerima Anugerah Pengenal Awal Bandar Pintar masing-masingnya menerima RM400,000 dalam bentuk peruntukan bagi menyokong komitmennya dan kejayaan melaksanakan khidmat pintar dan berasaskan masyarakat.

MURNInets menilai kelestarian kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan enam dimensi iaitu ekonomi berdaya saing, kawalan alam sekitar mampan, kemakmuran komuniti, penggunaan tanah dan sumber asli sepenuhnya, kecekapan infrastruktur dan pengangkutan dan pentadbiran berkesan.

Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menerima anugerah Pusat Operasi MURNInets Negeri (POMN) atas kejayaan menyelaras dan mentransformasikan kelestarian seluruh Sarawak.