SOP berdasarkan hasil siasatan kemalangan korbankan tiga murid

LAWAS: Prosedur operasi standard (SOP) mengenai aspek keselamatan penumpang kenderaan khususnya melibatkan insiden kereta terbabas sehingga mengorbankan tiga kanak-kanak berhampiran Kampung Awat-Awat di sini akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dijalankan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada masa ini pihak polis masih melakukan siasatan berhubung punca kemalangan itu termasuk menunggu hasil kimia selain menunggu hasil siasatan yang dilakukan Puspakom terhadap kenderaan tersebut.

“SOP keselamatan penumpang kita akan lihat bagaimana penyiasatan dibuat dan kalau perlu sesuatu yang harus dilakukan kita akan lakukan, itu kita lihatlah bagaimana siasatan dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden kereta terbabas di Pejabat Daerah Kecil Sundar, semalam.

Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut berkongsi kesedihan dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa sambil meminta mereka tabah menghadapi musibah.

Dalam insiden menyayat hati pada 18 Oktober lalu, tiga kanak-kanak maut, seorang kritikal manakala enam lagi penumpang selamat selepas sebuah kenderaan terbabas memasuki sungai berhampiran Kampung Awat-Awat.

Mangsa yang maut ialah Mohamad Nazran Matasan, 10, Mohd Fayard Mohd Azmi, 5 dan Eryna Akifa Imani Zukri 8, dalam kejadian menyayat hati yang berlaku jam 1 tengah hari.

Seorang kanak- kanak perempuan Madieenatul Munawarah Mohd Azmi 9, pula yang kritikal dan dirujuk ke Hospital Miri sebelum ini, kini stabil.

Terdahulu Awang Tengah meluangkan masa melawat lokasi kejadian kemalangan di jalan menuju ke Kampung Awat-Awat bersama Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan, Komanden Operasi BBP Lawas Ngo Avan, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.