KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Mac 2024, bersetuju memperkenalkan tujuh langkah strategik bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, menggalakkan pembelajaran STEM bermakna dan menyediakan peluang untuk murid mengembangkan bakat dan potensi melalui aktiviti kokurikulum bidang STEM pada pelbagai peringkat adalah antara dua tujuh langkah berkenaan.
“Yang lain mengutamakan pembangunan kompetensi pemimpin sekolah, guru bidang STEM, guru bimbingan dan kaunseling (GBK) dan anggota kumpulan pelaksana (AKP),”katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Wong berkata, langkah strategik yang lain ialah mereka bentuk semula ruang pembelajaran yang luwes dan inklusif dan membangunkan pentaksiran pembelajaran STEM yang inovatif dan holitsik.
Dua lagi langkah strategik itu, katanya ialah mengukuhkan kerjasama strategik bagi melestarikan ekosistem STEM dan menubuhkan Pusat Pendidikan STEM.
Menurut beliau, sebuah hab STEM telah siap dibina di Pusat Kegiatan Guru, Miri bertujuan menyediakan ruang kepada guru bidang STEM menjalankan aktiviti bersama komuniti pembelajaran (PLC) setempat serta berkongsi amalan terbaik dalam penyampaian kurikulum STEM.
KPM komited untuk meningkatkan minat murid dalam STEM bagi menyediakan bakat STEM yang mencukupi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi, katanya.
Ia selaras dengan keperluan dasar berkaitan sains, teknologi dan inovasi seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, KPM telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif sebagai usaha meningkatkan peratusan penyertaan murid dalam bidang STEM.
Menurutnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memberi penekanan untuk meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran yang baharu dan pemantapan kurikulum dan meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM.
Selain itu, katanya, ia juga untuk meningkatkan kesedaran terhadap STEM dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang awam dan menambah baik serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur untuk proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang STEM.
Ahmad Johnie dalam soalan lisannya meminta KPM menyatakan sejauh manakah kemasukan pelajar ke aliran STEM di Sarawak sejak 2014 hingga kini dan nyatakan perbezaan enrolmen di antara sekolah luar bandar dan bandar serta apakah perancangan Kementerian untuk memastikan pelajar meminati aliran STEM.
