KUALA LUMPUR: Mulai tahun 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan pilihan pakej mata pelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat menengah atas.
Ia meliputi Pakej STEM A, STEM B dan STEM C yang merangkumi mata pelajaran sains tulen, sains gunaan dan teknologi serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pakej-pakej mata pelajaran disediakan bagi memberikan peluang kepada murid untuk memilih mata pelajaran bersesuaian mengikut kecenderungan, minat dan kebolehan.
Perkara ini sejajar dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi dalam bidang STEM, katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau menegaskan, selepas pakej mata pelajaran itu diperkenal pada 2020, peratus enrolmen murid STEM di Sarawak adalah 30.50 peratus pada 2021, 33.91 peratus (2022) dan 34.66 peratus (2023).
Bagi tujuan pengkelasan mengikut lokasi bandar dan luar bandar, katanya, data adalah dianalisis berdasarkan murid yang memilih aliran Sains, mata pelajaran vokasional (MPV), Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), Teknologi, Teknik, Kemahiran, Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahun Satu dan Program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu.
Peratus enrolmen murid STEM Tingkatan Empat (di Sarawak) mengikut lokasi (bandar dan luar bandar) berdasarkan analisis tersebut adalah seperti berikut: 32.67 peratus (bandar), 25.16 peratus (luar bandar) pada 2021; 32.34 peratus (bandar), 25.09 peratus (luar bandar) pada 2022; 32.17 peratus (bandar) dan 24.74 peratus (luar bandar) pada 2023, tambahnya.
KPM, tegas beliau, telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif sebagai usaha meningkatkan peratusan penyertaan murid dalam bidang STEM.
Sehubungan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025 memberi penekanan untuk meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran baharu dan pemantapan kurikulum, katanya.
Di samping itu, katanya, KPM turut meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM, meningkatkan kesedaran terhadap STEM dalam kalangan murid, ibu bapa, orang awam dan menambah baik serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur untuk proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang STEM.
Ahmad Johnie dalam soalan lisannya meminta KPM menyatakan sejauh manakah kemasukan pelajar ke aliran STEM di Sarawak sejak 2014 hingga kini dan perbezaan enrolmen di antara sekolah luar bandar dan bandar serta apakah perancangan kementerian untuk memastikan pelajar meminati aliran STEM dan sejauh manakah tahap kesediaan guru dari segi pengetahuan dan sikap dalam melaksanakan program STEM di Sarawak.
