RM20 bilion dana diperlukan persiap Pelan Induk Bekalan dan Grid Air Sarawak

MIRI: Sarawak memerlukan peruntukan sebanyak RM20 bilion bagi melaksanakan Pelan Induk Bekalan dan Grid Air untuk memastikan liputan penuh bekalan air menjelang 2030.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini akan dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif terutamanya melalui pelaksanaan Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

Jelasnya, bagi melaksanakan projek rakyat di bawah pelan induk, sejumlah RM4 bilion diperuntukkan Kerajaan Sarawak untuk Water Supply Grid Programme for Stressed Areas membabitkan 304 projek bekalan air yang kini masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Setakat ini, sebahagian besar projek iaitu sebanyak 267 projek atau 88 peratus telah disiapkan, 29 projek (sembilan peratus) sedang dalam pembinaan manakala lapan projek (tiga peratus) dalam perancangan.

“Plan induk untuk dilaksanakan supaya pengguna terutama luar bandar dapat menikmati bekalan air bersih seperti bandar,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan LAKU 2024 di Pullman Miri Waterfront malam tadi.

Dedahnya lagi, sehingga kini capaian liputan bekalan air bersih telah melebihi 90 peratus untuk kawasan bandar namun untuk luar bandar cuma mencapai liputan 71 peratus.

Hadir sama Setiausaha Tetap MUT Datu Jafri Lias, Pengerusi LAKU Management Sdn Bhd Datuk Nelson Balang Rining, Ahli Lembaga Pengarah LAKU Management Datu Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauz.