KUCHING: Sarawak meletakkan penanda aras baharu terhadap Sukan Malaysia (SUKMA) susulan kejayaan penganjuran temasya dwitahunan itu Ogos lalu.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkara ini turut diakui sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan standard tinggi ditetapkan oleh Sarawak dalam penganjuran SUKMA Ke-21 itu sebagai sukar ditandingi oleh negeri-negeri lain.
Ujarnya, kejayaan Sarawak bukan sahaja merangkul gelaran juara keseluruhan, tetapi juga memperlihatkan kemajuan dari aspek penganjuran, persediaan teliti dan pelaksanaan lancar.
“Persiapan kita sangat rapi, dan sepanjang temasya itu, saya tidak melihat kelemahan yang ketara. Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa sukar untuk negeri lain menyamai standard yang dicapai oleh Sarawak dalam SUKMA kali ini.
“Kita jadikan ia sebagai penanda aras, dan mungkin pihak lain terpaksa berusaha lebih keras untuk menyamai standard ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.
Abang Johari menegaskan, pelaburan kerajaan dalam bidang sukan adalah strategi untuk membina keyakinan diri, daya tahan dan semangat anak muda
mencapai sasaran yang ditetapkan.
Tambahnya, penganjuran SUKMA di Sarawak menjadi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat dengan semangat kebersamaan yang membara dipamerkan melalui gabungan kepakaran dan kerjasama antara semua pihak yang terlibat.
“Kejayaan cemerlang ini meletakkan Sarawak sebagai negeri rujukan bagi penganjuran sukan di Malaysia, memperkukuh reputasinya sebagai penganjur acara bertaraf tinggi yang mampu dilaksanakan dengan penuh kecemerlangan,” ujar beliau lagi.
Premier Sarawak menyempurnakan pelancaran buku coffee table ‘Road To Glory SUKMA XXI Sarawak 2024’ disusuli menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada 25 jawatankuasa yang berperanan penting dalam menjayakan SUKMA Sarawak.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato’ Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta dif-dif kenamaan yang lain.
