Rombongan Setiausaha Kerajaan Sarawak tinjau kebajikan penuntut, asrama kenyalang

KAHERAH, Mesir: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak mengetuai lawatan kerja Yayasan Sarawak dan Majlis Islam Sarawak (MIS) ke Mesir bagi meninjau kebajikan penuntut Sarawak serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Mesir.

Lawatan kerja rasmi mulai 27 hingga 30 Oktober itu merangkumi tinjauan ke Asrama Kenyalang Sarawak (AKS) di Kaherah, serta sesi libat urus bersama penuntut Sarawak yang berada di Kaherah dan Iskandariah.

Selain itu, delegasi turut mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir, Dato’ Mohd Tarid Sufian, bagi mengukuhkan kerjasama strategik demi kesejahteraan komuniti pelajar Sarawak yang sedang menuntut dalam pelbagai bidang di Universiti di Mesir.

Turut serta dalam lawatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Yang di-Pertua MIS, Datu Misnu Taha, Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin, serta pegawai kanan daripada Yayasan Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS)