Sarawak kekal had umur belia 40 ke bawah

KUCHING: Sarawak masih mengekalkan had umur belia pada 40 tahun ke bawah, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ujar Abdul Karim, Kerajaan Sarawak tidak akan tergesa-gesa meminda had umur belia susulan perubahan di peringkat nasional kepada 15 hingga 30 tahun mulai 1 Januari lalu selaras pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2019.

“Sarawak mempunyai kuasa berkaitan pembangunan belia menerusi ordinannya sendiri dan masih mengekalkan had umur belia pada 40 tahun ke bawah.

“Kita belum meminda. Pindaan kalau kita lakukan pun, kita tidak akan tergesa-gesa dan kita masih lagi ikut aturan kita sendiri,” katanya pada Majlis Perundingan Belia Negara, peringkat Negeri Sarawak di Pustaka Negeri, di sini, hari ini.

Pada masa sama, jelasnya, kemungkinan Sarawak menurunkan had umur berkenaan tidak diketepikan dan mungkin dilaksanakan secara berperingkat, iaitu kepada 35 tahun sebelum diturunkan lagi kepada 30 tahun pada masa akan datang.

Sarawak jelasnya lagi, sebelum ini menetapkan had umur belia pada 45 tahun ke bawah sebelum menurunkannya kepada 40 tahun.

Katanya, perubahan had umur itu juga perlu dilihat secara positif bagi membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda mengambil tanggungjawab serta memastikan kesinambungan kepimpinan.

Beliau turut mengesa pemimpin belia yang lebih berpengalaman menyediakan ruang kepada generasi seterusnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Dr Safiee Ahmad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI