Sarawak perlukan ramai tenaga kerja dalam sistem tenaga solar

SIBU: Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang sistem tenaga solar bagi menyokong matlamat negeri meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu menjelang 2030 dan 2035.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembangunan tenaga kerja tempatan yang kompeten adalah penting untuk merealisasikan sasaran itu.

“Sarawak mensasarkan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan meningkat kepada 15GW pada 2035. Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya 60 peratus akan datang daripada sumber tenaga boleh baharu, termasuk 1,500 megawatt (MW) daripada tenaga solar menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan Sijil Akreditasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak oleh Pengarah Bekalan Elektrik, Ir. Ts. Muhammad Randi Abdullah kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Prof. Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, di kampus UTS di hari ini.

Sijil tersebut memberi kuasa kepada UTS untuk menjalankan kursus Rekabentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu di negeri ini.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menjelaskan, kerajaan negeri turut melaksanakan skim Net Energy Metering (NEM) dan Self-Consumption (SELCO) bagi menggalakkan penyertaan daripada sektor individu, komersial dan industri.

“Inisiatif ini membuka ruang kepada lebih ramai pihak untuk menjana dan menggunakan tenaga boleh baharu. Justeru, penganjuran kursus seperti ini amat penting bagi melahirkan tenaga mahir dalam reka bentuk sistem solar PV,” kata beliau.