KUCHING: Sarawak memperuntukkan sebanyak RM124 juta bagi menaik taraf fasiliti sukan sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 pada 2024.
Ketika ini, persiapan untuk menganjurkan temasya dwitahunan dijadual berlangsung mulai 17 hingga 24 Ogos 2024 sedang berjalan lancar, menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas l ditugaskan untuk melantik pihak yang akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf fasiliti sukan yang telah dikenal pasti.
Selain itu dedahnya, kira-kira RM80 juta turut diluluskan untuk mempersiapkan atlet-atlet Sarawak bagi memburu kejuaraan pada edisi kali ini.
“Ramai atlet-alet kita sudah berada di luar negara. Kita benar-benar serius kali ini untuk muncul juara pada SUKMA 2024,” katanya selepas majlis perasmian Sukan Perpaduan di Megalanes Batu Kawa Kuching, hari ini.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan-Timbalan Menteri MYSED, Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat.
Menjelas lanjut, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, Sarawak dalam proses membina kompleks sukan lengkap berkonsepkan Sekolah Sukan Bukit Jalil yang terletak bersebelahan Kompleks Sukan Sarawak di Petra Jaya.
Katanya, kompleks sukan itu akan dibina di atas sebidang tanah di kawasan tersebut. Ia akan menempatkan pelbagai fasiliti sukan bertaraf antarabangsa antaranya pusat velodrome dan trek basikal.
Bersebelahan lokasi itu katanya, sedang dibina perkampungan sukan yang terdiri daripada hostel dan hampir siap.
“Selain itu, di sebelahnya juga kita ada Pusat Berprestasi Tinggi seperti Bukit Jalil.
“Kita mahu melahirkan ramai Saintis Sukan untuk mempersiapkan atlet-atlet kita di masa hadapan,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Abdul Karim berhasrat untuk mengambil alih SMK Demak Baru yang terletak bersebelahan perkampungan sukan itu untuk dijadikan sebagai sekolah sukan Sarawak.
