Sarawak, Sabah berpotensi hab tenaga hijau rantau ASEAN

KUALA LUMPUR: Sarawak dan Sabah berpotensi menjadi hab tenaga hijau utama di rantau ASEAN menerusi pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui seperti hidro di Sarawak serta solar hibrid di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, projek hidro di Sarawak, solar hibrid di Sabah, serta usaha eksport tenaga boleh diperbaharui ke negara jiran akan terus diperluas.

“Bahkan, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan terus diperkukuh bagi mempercepat penggunaan tenaga bersih seperti solar, hidro dan biogas, selain menawarkan insentif fiskal kepada pelabur sektor tenaga hijau,” katanya pada sesi menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, dalam aspek pengurusan air, kerajaan akan memperkukuh transformasi sektor itu melalui pengurangan air tidak berhasil (NRW), penstrukturan industri air negeri serta pelaksanaan projek pembetungan dan rawatan air baharu, khususnya diun pedalaman.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa kerajaan akan memastikan pelaksanaan Belanjawan 2026 dijalankan secara telus dan berimpak tinggi agar manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat, terutama di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

“Belanjawan MADANI 2026 memperuntukkan jumlah pembangunan tertinggi dalam sejarah untuk Sabah dan Sarawak, termasuk bagi projek jalan raya, sekolah, hospital, telekomunikasi serta kemudahan asas luar bandar.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negara, selaras dengan semangat MA63 dan prinsip Malaysia MADANI,” katanya.