Sarawak tegas tidak eksport elemen nadir bumi ke luar negara

SEMATAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan pendirian Kerajaan Sarawak tidak mengeksport elemen nadir bumi (REE) ke luar negara.

Tegasnya, REE di perut bumi Sarawak merupakan bahan ekonomi yang amat penting untuk menghasilkan bahan lain yang lebih memanfaatkan Sarawak.

“Kita di Sarawak mempunyai REE ini tetapi kita tidak akan eksport kerana ia menjadi satu bahan ekonomi yang penting untuk kita mewujudkan bahan-bahan yang lain,” katanya pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat Sarawak 2025, di sini hari ini.

Jelas Premier, Sarawak akan menubuhkan sebuah pusat kajian di bawah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak untuk membuat kajian potensi produk yang dapat dihasilkan daripada REE di Sarawak, termasuk kajian-kajian lain berkisar ekonomi kitaran.

“Kita akan mewujudkan pusat kajian dan kita minta anak kita belajar dalam jurusan ‘material science’ dan saya telah memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan dan rakan-rakan bahawa kita tidak akan mengeksport REE,” tegas beliau lagi.

Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini memberikan lesen operasi lanjutan dan komited untuk tidak mengenakan sekatan atau kuota ke atas eksport mineral penting atau unsur nadir bumi ke Amerika Syarikat.

Bagaimana, Sarawak mengambil pendirian untuk memanfaatkan sumber nadir bumi untuk pembangunan teknologi dan pengeluaran produk strategik wilayah ini termasuk semikonduktor.

Sementara itu, Premier Sarawak berkata Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengurusan sisa yang akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November ini akan melengkapkan ekosistem undang-undang sedia ada untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘rumah bersih’ untuk semua.

Beliau berkata, RUU ini akan melengkapi dua RUU sedia ada bagi membolehkan Sarawak memiliki kuasa penuh terhadap alam sekitar wilayah ini.