Sarawak terus bersuara selagi perkara MA63 belum selesai – Hasidah

KUCHING: Lebih enam dekad telah berlalu sejak Malaysia dibentuk, namun bagi Sarawak, perjuangan menuntut pemulangan hak-hak yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih jauh dari garisan penamat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperjuangkan segala perkara tertunggak yang termaktub dalam perjanjian bersejarah itu.

“Selagi ada perkara yang belum selesai dalam MA63, selagi itulah kita akan terus bersuara. Ini bukan soal kehendak semata-mata, tetapi soal hak yang dijamin ketika Malaysia dibentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 2025 di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Menurut Hasidah, salah satu tuntutan utama yang terus menjadi fokus Sarawak ialah usaha mengembalikan semula kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau memaklumkan bahawa rundingan antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mengenai isu ini sedang berlangsung, namun masih belum menemui keputusan muktamad.

Meskipun demikian, katanya, ia tidak mematahkan pendirian Sarawak dalam memperjuangkan hak tersebut.

“Persempadanan semula dan kuota kerusi Parlimen adalah sebahagian daripada kandungan MA63 yang kita tuntut. Ia bukan perkara baharu, malah telah lama dibincang tetapi masih belum dimuktamadkan. Kita akan teruskan usaha,” katanya.