KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, persidangan dijadual berlangsung di Dewan Santapan, Bangunan DUN Sarawak, di sini pada 12 hingga 13 September ini.
“Persidangan ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 13 September ini jam 9.30 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media persidangan itu di Bangunan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Asfia berkata, seramai 43 delegasi terdiri daripada Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Dewan Rakyat serta Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia dan Setiausaha Dewan masing-masing akan berhimpun pada persidangan itu.
Katanya, ini bagi tujuan memperkasakan peranan institusi Speaker, peranan Parlimen dan DUN sebagai platform yang mewakili suara rakyat, selain menjadi forum perkongsian ilmu dan pengalaman antara Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia.
“Secara amnya, terdapat tiga kertas kerja yang akan dibentangkan pada persidangan kali ini, iaitu oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Speaker DUN Sarawak,” tambahnya.
Beliau berkata, Sarawak pernah menjadi tuan rumah bagi persidangan ini pada 1996, iaitu 28 tahun lalu.
