Sarawak tubuh Pusat Kajian Universiti Teknologi Swinburne

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan tapak seluas 15 ekar bagi pembangunan pusat kajian Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, dalam usaha menjadikan wilayah ini hab penyelidikan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tinggi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan pusat ini bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memproses sumber-sumber Sarawak dalam tempoh 25 tahun akan datang.

“Sudah tentu, Kerajaan Sarawak akan melabur dalam pembinaan pusat penyelidikan ini serta melengkapkannya dengan peralatan terkini.

“Tujuannya untuk menganalisis semua sumber yang ada dan menukarkannya kepada produk berkualiti tinggi menggunakan teknologi terkini,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 Swinburne Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Premier menjelaskan, bahawa pusat penyelidikan ini akan menjadi teras bagi kajian tenaga hijau serta sektor teknologi tinggi termasuk satelit, dron dan aeroangkasa.

Beliau yakin dengan kepakaran dan sumber tempatan, Sarawak mampu melahirkan generasi muda berpengetahuan tinggi dalam bidang tenaga dan teknologi canggih.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin.