KUCHING: Masjid baharu yang akan dibina bersebelahan pusat membeli belah The Spring akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara khutbah Jumaat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bertujuan memudahkan penduduk mualaf di situ memahami isi kandungan yang disampaikan semasa khutbah Jumaat.
Ujarnya, perkara ini dilaksanakan kerana mengambil kira keadaan di kawasan tersebut yang mempunyai ramai populasi mualaf.
“Kita melihat kepada keadaan yang mana kawasan tersebut memiliki penduduk yang ramai daripada golongan mualaf maka kita gunakan bahasa Inggeris agar mudah difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Jelajah Madani Ulama’ Dan Unara Peringkat Sarawak 2024 di Wisma SABATI hari ini.
Premier Sarawak menambah, Kerajaan Sarawak mahu melahirkan anak Islam berpendidikan dan berpengetahuan luas dari sudut agama dan duniawi.
“Sekolah tersebut menggunakan sukatan Al-Quran dan sukatan Cambridge ke arah menerapkan nilai dunia dan akhirat,” katanya.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Setia Dr Na’im Mokhtar serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.
