Separuh acara berkaitan warisan kebudayaan

KUCHING: Hampir separuh daripada acara atau program yang diadakan di Sarawak berkaitan warisan kebudayaan, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.

Beliau berkata, kementeriannya berkolaborasi dengan kumpulan petugas pelancongan bahagian, bekerja rapat dengan komuniti setempat terlibat dalam merancang dan menganjurkan kegiatan berunsur warisan itu.

Antara kegiatan berunsur warisan tempatan itu termasuk menyemarakkan budaya iaitu acara perkahwinan tradisional Melayu Sarawak di Rumah Warisan Tan Sri Abang Ahmad Urai di sini, katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki yang bertanya apakah nisbah program pelancongan berasaskan warisan dalam kalendar pelancongan dan penglibatan masyarakat.

Acara lain berunsurkan warisan itu ialah Festival Kuih Bulan Antara Budaya Sarawak, Hari Bung Bratak di Bau, Pesta Kebudayaan Bornei di Sibu, Pesta Kaul Mukah, Festival Budaya Dayak Kapit, Pesta Badudun dan Lumba Kerbau dan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau di Limbang, Irau Aco Lun Bawang di Lawas, Festival Bintangor dan Pesta Danu di Serian, katanya.

Menurut beliau, kementeriannya menyediakan sebahagian daripada peruntukan manakala masyarakat menyumbang dengan menjual produk makanan tradisonal, kraf dan turut serta dalam mengadakan persembahan dan permainan tradisional.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan masyarakat mempamerkan warisan dan memupuk kesedaraan kebudayaan di samping mengeratkan perpaduan berkaitan acara pelancongan.

Majlis Kraf Sarawak (MKS), tambahnya, turut menganjurkan acara seperti Minggu dan Bazar Kraf untuk menggalakkan masyarakat produk di pasaran.

Beliau berkata, MKS juga membantu pengusaha kraf tempatan menyertai acara di peringkat antarabangsa dan wilayah seperti Festival Muzik Hutanhujan Dunia, Hari Kraf Kebangsaan, Pesta MAHA, Pesta MATTA,Pameran Usahawan Sarawak (MINTRED), Pesta Kebudayaan Borneo dan Festival Kraf Borneo.