KUCHING : Kerajaan Sarawak turut melaksanakan gaji minimum RM1,700 kepada pekerja sektor swasta di negeri ini selaras pengumuman Perdana Menteri, Dato Sri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri – Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, bagaimanapun pelaksanaan gaji minimum RM1,700 tidak terpakai kepada penjawat awam Sarawak.
“Pelaksanaan gaji minimum bagi penjawat awam Sarawak adalah tertakluk kepada surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia.
“Kerajaan Sarawak telah bersetuju menerima pakai secara prinsip pelaksanaan sistem saraan perkhidmatan awam (SSPA) melalui Pekeliling Perjawat Negeri Sarawak Bilangan 15 tahun 2024 yang dikeluarkan 15 Oktober 2024,” katanya.
Hasidah berkata demikian ketika menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS- Lingga) dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Katanya, untuk Gred 1, gaji permulaan terendah iaitu gaji pokok adalah RM1,500 sebulan dan turut menikmati elaun sebanyak RM685 sebulan. Ini menjadikan jumlah pendapatan kasar adalah RM2,185 sebulan.
Bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberi enam bulan penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 iaitu bermula 1 Ogos 2025.
Pelaksanaan itu, tambahnya, terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik dan kontrak perantisan.
