KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu dasar pengambilan murid di Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) adalah sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kumpulan B40.
Menjawab soalan Christoper Gira @ Gira Sambang (Tamin-GPS) di persidangan DUN hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, pada masa ini, sebanyak 55.4 peratus pelajar (YSISS) terdiri daripada B40, 32.3 peratus (M40) dan 12.3 peratus (T20).
“Ini selaras dengan falsafah asas penubuhan sekolah YSISS iaitu menyediakan ekosistem pendidikan yang baik khususnya kepada golongan kurang berkemampuan,”katanya.
Dr Annuar menambah, berdasar statistik, pecahan murid mengikut kaum bagi kedua-dua YSISS Petrajaya dan YSISS Kuching terdiri daripada Melayu 36.2 peratus, Bidayuh (19.1 peratus), Iban (18.7 peratus), Cina (12.2 peratus), Melanau (7.9 peratus), Orang Ulu (3.7) peratus dan 2.2 peratus daripada pelbagai kaum yang lain.
Katanya, menurut rekod 31 Oktober 2024 seramai 40,856 orang pelajar di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dan pengajian tinggi di luar negara mendapat pembiayaan daripada Kerajaan Sarawak melalui pelbagai dan pinjaman pelajaran Yayasan Sarawak.
